Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) merupakan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan. Ia tercetus sewaktu Kongres Usahawan Muda Bumiputera pada 27 – 29 Mac 2014. Semasa Majlis Penutup Kongres pada 29 Mac 2014, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada SME Corp. Malaysia bagi melaksanakan Program Tunas Usahawan Bumiputera pada tahun 2014.

Program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan.

Program ini menyasarkan golongan belia Bumiputera yang berumur di antara 18 – 30 tahun yang mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan. Objektif utama Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera adalah untuk:

  1. memupuk dan menanam semangat keusahawanan di kalangan belia
  2. anjakan paradigma belia dari pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan; serta
  3. membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri

Program TUBE ini direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan dengan pengetahuan dan maklumat asas keusahawanan, selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar menerusi dua (2) fasa pelaksanaan iaitu:

Fasa Pertama

Seiring dengan kemajuan sains dan teknologi serta ancaman pandemik yang telah melanda, latihan kepada para peserta kini dilaksanakan secara dalam talian melalui platform khas yang dipilih.

Peserta akan didedahkan dengan lanskap perniagaan terkini; termasuk maklumat mengenai jenis bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi untuk memulakan perniagaan. Peserta juga akan mempelajari pelbagai acumen perniagaan termasuk perakaunan asas, pemasaran produk dan perkhidmatan, serta pembentangan idea dan Rancangan Perniagaan (RP) atau business plan.

Latihan secara dalam talian ini juga secara tidak langsung membantu para peserta lebih memahami aktiviti perniagaan dalam talian yang memerlukan peserta untuk meningkatkan aspek pendigitalan dalam perniagaan agar dapat melaksanakan perniagaan mereka dengan lebih pantas dan efisien, serta lebih memahami cara dan kaedah untuk meneroka strategi baru perniagaan melalui penerapan e-dagang.

Fasa Kedua

Peserta yang berjaya menamatkan Fasa 1 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa di Fasa 1. Perkembangan perniagaan peserta di Fasa ini akan dibimbing dan dipantau menerusi Sistem Buddy oleh Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia. Tempoh bimbingan dan pemantauan ini yang mengambil masa selama 12 bulan bertujuan untuk memastikan TUBErs mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi, supaya perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan.

Kriteria Kelayakan Permohonan

Permohonan hanya terbuka kepada mereka yang memenuhi kriteria kelayakan berikut:

  1. Warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera berumur di antara 18 – 30 TAHUN ;
  2. Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mempunyai Sijil Kemahiran / Sijil Teknikal (TVET) daripada mana-mana institusi atau pusat latihan kemahiran dan mempunyai minat mendalam menjalankan perniagaan sebagai kerjaya.
  3. Sekiranya pemohon telah mendaftar perniagaan, pendaftaran hendaklah kurang dari 12 bulan sewaktu tarikh tamat permohonan dalam talian (31 Mei 2023)
    1. Hanya mengambilkira pendaftaran perniagaan kali pertama. Sekiranya pembaharuan pendaftaran atau pendaftaran kali kedua, maka tarikh perdaftaran baharu/ kali kedua tidak diambil kira.
    2. Bagi graduan institusi pengajian yang telah mendaftarkan perniagaan, tempoh tamat pengajian rasmi mestilah kurang dari 12 bulan. Pemohon perlu lampirkan salinan surat pengesahan tamat belajar melalui pautan yang boleh dimuat turun (Contoh: Dropbox, Google Drive dan lain-lain)
  4. Sihat tubuh badan/ tidak hamil dan komited untuk mengikuti latihan secara dalam talian (8.00 pagi hingga 5.00 petang).
  5. Pemohon hendaklah.
    1. tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah;
    2. tidak pernah diisytiharkan muflis dan
    3. Pemohon yang sedang berada di dalam proses kebankrapan dan / atau proses tindakan Mahkamah juga tidak layak memohon.
  6. Pemohon bukan merupakan keluarga terdekat dengan mana-mana pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia. Definisi keluarga terdekat adalah seperti berikut:
    1. Isteri atau suami pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia;
    2. Adik atau abang atau kakak pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia;
    3. Orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia
    4. Orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan isteri atau suami pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia
    5. Orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke bawah dengan orang yang disebut dalam perenggan b
    6. Bapa saudara, emak saudara atau sepupu pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia
    7. Menantu pegawai dan kakitangan SME Corp. Malaysia
  7. Bagi pemohon yang merupakan pasangan suami isteri atau adik-beradik
    1. hanya salah seorang sahaja yang layak / boleh dipertimbangkan menyertai program pada tahun semasa.
    2. hanya salah seorang sahaja daripada pasangan suami / isteri / adik-beradik untuk setiap pengambilan.
  8. Pemohon tidak bekerja
    1. Pekerjaan sama ada di dalam sektor awam atau sektor swasta; atau
    2. Pekerjaan sama ada bertaraf tetap, kontrak, sambilan atau sementara; atau
    3. Bagi pekerja sambilan yang terpilih, beliau perlu berhenti dan menumpukan sepenuh perhatian bagi menjalankan perniagaan.
  9. Pemohon tidak pernah menyertai Program ini sebelumnya (TUBE 1.0 hingga TUBE 8.0, TUBE@IPT, TUBE@PENJANA dan TUBE@PEMERKASA).
  10. Pemohon yang pernah atau telah mengikuti sepenuhnya Fasa 1 dan Fasa 2 bagi latihan yang diadakan secara fizikal atau Fasa 1 bagi latihan yang diadakan secara dalam talian tetapi tidak dipertimbangkan GP semasa tamat Program TUBE yang disertai adalah tidak lagi layak memohon.
  11. Bagi pemohon yang merupakan pelajar institut pengajian tinggi semester akhir di tahun akhir pengajian
    1. sekiranya memenuhi kriteria kelayakan permohonan dan diterima mengikuti program, pemohon dikehendaki untuk TIDAK menyambung pelajaran dalam tempoh satu (1) tahun / dua belas (12) bulan dari tarikh akhir sesi latihan TUBE yang disertai sebagai komitmen kepada Fasa 3 program ini; dan
    2. pemohon bukan dalam tempoh menjalani latihan industri semasa Program TUBE 9.0 dijalankan kelak.

Pemohon hendaklah MEMENUHI SEMUA kriteria kelayakan yang dinyatakan. Sekiranya didapati bahawa pemohon tidak memenuhi salah satu / mana-mana kriteria dinyatakan di atas, pemohon secara langsung adalah TIDAK LAYAK untuk dipertimbangkan. Sekiranya didapati pemohon mengemukakan maklumat palsu, permohonan akan DIBATALKAN serta merta.

Peringatan Penting

  1. Pemohon mesti membaca serta memahami konsep pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) serta kriteria kelayakan permohonan sebelum mengemukakan permohonan.
  2. Permohonan dalam talian akan dibuka mulai 7 sehingga 31 Mei 2023 sahaja. Permohonan sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan tidak akan diterima.
  3. Permohonan hanya boleh dibuat sekali sahaja.
  4. Sila pastikan emel yang digunakan semasa Pendaftaran ID adalah aktif dan sah.
  5. Sila lengkapkan semua soalan di setiap Seksyen dengan maklumat yang tepat dan betul sebelum menekan butang “Sah & Hantar”
  6. Sebarang pengemaskinian maklumat tidak boleh dilakukan setelah anda menekan butang “Sah & Hantar”.
  7. Pemohon diwajibkan untuk mencetak makluman penerimaan permohonan untuk simpanan dan rujukan pada masa akan datang.
  8. Pemohon hendaklah MEMENUHI SEMUA kriteria kelayakan yang dinyatakan. Sekiranya didapati bahawa :-
    1. pemohon tidak memenuhi salah satu / mana-mana kriteria dinyatakan, pemohon secara langsung adalah TIDAK LAYAK untuk dipertimbangkan;
    2. pemohon mengemukakan maklumat tidak benar atau palsu, permohonan akan DIBATALKAN serta merta
  9. Berdasarkan kepada dasar dan prosedur yang diterima pakai, SME Corp. Malaysia berhak untuk meminda, mengganti, membatal atau mengubah mana-mana terma dan syarat permohonan ini pada bila-bila masa tanpa memberi notis terlebih dahulu. Keputusan penilaian permohonan adalah muktamad dan sebarang surat-menyurat atau rayuan TIDAK AKAN DIPERTIMBANGKAN.

Untuk Soalan Lazim dan Pendaftaran, sila layari : LAMAN RASMI

Leave a Reply