Kebanyakan majikan, mempunyai polisi buku panduan yang mengatakan bahawa pekerja tidak dikecualikan untuk bekerja lebih masa dengan syarat mereka telah mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada pengurus atau penyelia.
Jika, tanpa kelulusan awal daripada pengurus atau penyelia, pekerja tidak boleh bekerja lebih masa dan apa yang berlaku jika pekerja bekerja lebih masa tanpa kebenaran terlebih dahulu dan gagal melaporkan waktu tersebut. Maka pekerja mungkin tiada hak untuk menuntut gaji lebih masa.
Saya pernah bekerja di kilang, di pejabat syarikat perkhidmatan dan beberapa buah syarikat yang bagus dan telah terbiasa dengan kerja lebih masa berbayar dan kerja lepas waktu kerja dengan sukarela (tidak berbayar) kerana ingin menyiapkan kerja supaya saya mudah. Ingin saya berkongsi satu pengalaman saya dengan kedai percetakan di Johor.
Beberapa kali berurusan dengan kedai percetakan itu membuatkan saya rasa senang. Apabila saya ingin cetakan pantas pun mereka layan dengan harga sedikit tinggi, namun saya terima kerana memang saya ingin cepat. Tetapi saya perasan itu semua berlaku pada hari dan waktu bekerja. Pada satu hari Jumaat petang jam 6:30, saya hubungi kedai tersebut dan panggilan tidak berjawab.
Kemudian saya teks melalui whatsapp untuk meminta quotation berdasarkan design yang saya emelkan. Hanya balasan automatik dari pihak kedai tersebut. Saya tunggu sehingga pagi Sabtu. Juga tiada balasan. Ia berterusan sehingga hari Isnin pagi jam 9 pagi. Mereka baru balas pesanan saya.
Kali kedua, saya mohon membuat cetakan tetapi tiada kesempatan untuk mengambilnya dalam waktu bekerja kerana kesibukan dan kebetulan lalulintas ke kawasan tersebut memang sangat sibuk. Saya hampir terlepas jam 6 petang pada jangkaan saya jika saya keluar agak lewat. Saya membuat panggilan dan memberitahu yang saya mungkin akan melepas jam 6 apabila sampai ke kedainya. Panggilan saya di jawab oleh pembantu kedai yang mereka tetap akan tutup jam 6. Saya mohon mereka tunggu saya, namun mereka enggan menunggu tetapi berjanji akan meletakkan bungkusan cetakan itu diluar kedai sekiranya saya benarkan. Saya terpaksa terima dan mengucapkan terima kasih kepada pembantu kedai.
Saya mula membandingkan diri saya dan pembantu kedai tersebut dalam melunaskan kerja. Saya mula rasa saya bagus dan dia tidak. Kemudian saya mula menilai adakah saya dibayar dengan apa-apa bentuk balasan ? Saya berkata saya ikhlas kerana ingin menyiapkan kerja dan membantu syarikat. Tetapi separuh hati saya mula menidakkan kerana saya memang tidak dibayar untuk kerja lebih masa itu. Pembantu kedai itu memang benar dengan tindakannya secara teknikal.
Saya terima yang ada kedai dan majikan yang menggariskan panduan sebegitu, walaupun saya diajarkan oleh peniaga-peniaga yang kuat bekerja agar menjaga pelanggan siang atau malam, tidak mengira masa. Memberi perkhidmatan dan bekerja tambahan tanpa bayaran sudah terbiasa dalam hidup saya. Sehingga saya berjumpa perkhidmatan ini. Saya juga percaya majikan itu menghargai masa rehat pekerja dan ingin mendisiplin pelanggan agar menepati masa dan membuat perancangan yang baik untuk membuat cetakan di kedainya.
Semua tindakan kita adalah pilihan. Sebagai pekerja, adakah kita ingin terus berusaha tanpa mengira waktu dengan ikhlas atau tidak. Atau kita juga boleh mengenepikan kehendak pelanggan serta majikan sekiranya ada keperluan untuk bekerja lebih masa walaupun ada bayaran tambahan. Lebih mengecewakan jika perlu bekerja lebih masa tetapi di arahkan untuk tidak boleh menuntut gaji untuk kerja lebih masa. Ada pekerja yang terpaksa akur kerana ingin terus kekal bekerja dan ada yang membuat pilihan untuk mencari pekerjaan lain. Bagaimana sekalipun kerja atau tuntutan, kesihatan harus diutamakan.