PANDUAN UMUM [DARI LAMAN JendelaDBP]
- Karya (makalah, cerpen dan puisi) yang dihantar untuk diterbitkan oleh Bahagian Majalah hendaklah karya asli penulis.
- Karya yang ditulis hendaklah dalam bahasa Melayu.
- Karya yang mengandungi istilah hendaklah berdasarkan istilah yang ditetapkan oleh DBP.
- Karya hendaklah ditulis dalam bentuk penulisan untuk majalah, bukan bentuk penulisan kertas kerja atau seumpamanya.
- Karya yang tidak diterbitkan dalam bentuk majalah bercetak akan dipertimbangkan untuk diterbitkan dalam JendelaDBP (jendeladbp.my) dengan persetujuan penulis. Sekiranya penulis hanya mengizinkan karya tersebut diterbitkan melalui satu medium sahaja, sila nyatakan medium yang dipilih, iaitu sama ada BERCETAK atau DIGITAL.
- Setiap karya yang dihantar tidak boleh dihantar kepada penerbit lain.
- Setiap karya yang terpilih untuk disiarkan tertakluk pada dasar penerbitan DBP dan penulis akan dibayar honorarium mengikut kadar bayaran DBP.
- Penulis mestilah mengenal pasti majalah dan pembaca sasaran yang sesuai dengan karya yang ditulis.
- Sebaik-baiknya karya yang ditulis disertakan dengan foto (dalam format *.jpeg/*.png), ilustrasi, jadual, rajah dan sebagainya. Penulis juga digalakkan untuk mengirimkan video atau klip video berkaitan dengan makalah yang ditulis.
- Karya termasuklah bahan dalam format foto (dalam format *.jpeg/*.png), ilustrasi, jadual, rajah, klip video dan sebagainya yang hendak dihantar untuk terbitan DBP hendaklah:
- tidak melanggar, dengan apa jua cara mana-mana hak cipta yang ada, dan tidak mengandungi apa-apa perkara yang boleh menimbulkan bantahan atau melanggar mana-mana undang-undang; dan
- bebas daripada sentimen perkauman, tidak menghasut dan tidak menimbulkan prejudis terhadap mana-mana pihak.
- Hak cipta penerbitan bagi semua karya yang tersiar dalam majalah terbitan DBP adalah hak mutlak DBP, manakala penulis mempunyai hak cipta bagi manuskrip asal yang dihasilkan. Manuskrip asal adalah merujuk manuskrip mentah yang belum disunting oleh DBP yang dihasilkan oleh penulis dan dihantar kepada DBP.
- DBP mempunyai hak mutlak terhadap mana-mana penerbitan karya yang telah diterbitkan oleh DBP dalam majalah (bercetak atau digital) dalam apa-apa bahasa sama ada dilakukan oleh DBP atau pun pihak luar di dalam dan di luar negara yang melibatkan hak seperti yang berikut:
- Hak menterjemah karya tersebut ke dalam apa-apa jua bahasa lain daripada bahasa asal;
- Hak menyesuaikan, memendekkan, meringkaskan dan memperluas;
- Hak mengeluar ulang dan mencetak;
- Hak mempersirikan karya tersebut dalam akhbar dan/atau terbitan berkala dalam bentuk penerbitan bercetak dan/atau penerbitan elektronik; sama ada dalam bentuk asalnya atau dalam bentuk animasi, kartun, komik dan/atau bentuk penerbitan lain;
- Hak mementaskan karya tersebut;
- Hak memfilemkan karya tersebut; dan
- Hak menyiarkan karya tersebut melalui televisyen, dan/atau melalui apa-apa media elektronik secara sentuh, bunyi, pandang dan/atau pandang dengar.
Baca lebih lanjut di halaman JendelaDBP.